Wednesday 2 May 2012

Jangan Cepat Untuk Mengubah


"Kenapa malas kau nak belajar ni, kerap sangat ponteng kelas, apa nak jadi dengan masa depan kau, tiada masa depan.!"


"Hoi, dah solat Zohor, jom solat berjemaah, kalau lengahkan solat tanpa sebab masuk neraka.!"


" Adik, jangan belajar menipu emak, jangan meninggikan suara kepada emak, jangan merempit, jangan berkawan dengan kawan-kawan yang nakal yang tak solat dan tak puasa.!"

" Cikgu, kalau rasa anak saya ni nakal, banyak main, cikgu pukul sahaja dia, bagi dia jadi seorang yang berdisplin.!"


" Anta tak datang usrah, anta tak datang rehlah, kenapa anta ni, macam mana nak berjuang, nak komit dengan benda kecil ni pun tak mampu.!"


Menegur rakan kita yang muslim itu adalah amalan yang digalakkan di dalam islam. Allah s.w.t juga telah mengiktiraf keistimewaan umat nabi Muhammad yakni sebaik-baik umat yang menyeru kepada perkara yang makruf dan mencegah kepada perkara yang mungkar.


Sesungguhnya marilah sama-sama kita bersyukur kerana diberikan hidayah oleh Allah s.w.t untuk berubah daripada seorang yang tidak solat kepada menjaga solat, daripada malas belajar kepada suka belajar, daripada seorang yang pernah menyokong ideologi sekular kepada menjadi pendokong perjuangan islam dan lain-lain bentuk perubahan yang telah kita nikmati.


Hebatnya Nabi Muhammad s.a.w tidak mampu baginda memberikan hidayah kepada bapa saudara kesayangan baginda iaitu Abu Talib untuk memasuki islam.


Apabila Allah s.w.t telah memberikan kekuatan kepada kita untuk berubah, cuma kita terleka untuk melakukan pengurusan hidayah kepada diri dan orang lain. Mudah betul kita menghukum orang lain jahat, tidak faham agama, suka bercouple, tidak solat fardhu, tidak puasa dan lain-lain lagi.


Sewaktu kita belum memperolehi hidayah untuk komit dengan hukum-hukum dan nilai-nilai agama, kita pernah melakukan perkara-perkara tersebut. Kita pernah melakukan maksiat dan perkara-perkara mungkar.


Apabila ada orang yang menegur kita, kita mencaci orang tersebut, kita pernah berkata kepada orang tersebut "kubur masing-masing, ada aku kisah." Begitu elligik kita pada nasihat agama.


Sekarang kita telah berubah sepenuhnya dan kita berazam untuk membawa orang lain berubah sepenuhnya seperti kita. Bila kita melihat sesuatu yang mungkar pada diri orang lain, kita cepat untuk memberi nasihat agama padanya. Kita seolah-olah maksum di hadapan orang semasa memberikan nasihat, kita terlalu ideal bila mahu mengajak orang ke arah kebaikan.


Hanya 1 bulan atau 1 tahun hidayah yang Allah berikan kepada kita, terus kita mahu mengubah semua tersebut dalam masa 1 bulan atau 1 tahun tersebut. Nasihat agama harus diberikan secepat yang mungkin kepada orang lain yang ingin melakukan maksiat, dengan mudah-mudahan kita dapat menghalangi orang tersebut daripada melakukan maksiat. 


Sekiranya nasihat itu tidak diendahkan atau kita melihat orang itu tetap melakukan kesalahan yang sama, mungkin belum masa orang tersebut untuk berubah.


Walaupun kita sudah berubah, kita sebenarnya tidak ditimpa ujian mungkar untuk kali ke-2. Bagaimana keadaan kita sekiranya ditimpa ujian mungkar kali ke-2, kita pun tidak akan tahu keadaan kita pada ketika itu sama ada mampu atau tidak untuk menempuhnya.


Sekiranya kita ternampak seorang peminum arak, janganlah terus memukul peminum tersebut. Biarkan dia meminum arak tersebut sehingga habis, kemudian datangi dia dan berikan nasihat itu secara lemah lembut. 


Bimbang sekiranya kita mahu mendekatkan orang dengan islam tetapi kita pula yang menjadi salah satu punca orang untuk jauh kepada islam. Apa-apa pun untuk menegur ia bergantung kepada hikmah yang Allah berikan kepada kita. Hikmah ada kalanya perlu berlembut sahaja, dan ada kalanya perlu berkeras.


Saya juga bukan bermaksud, kita berlembut di atas kemungkaran kezaliman, kerana kezaliman itu "lawan tetap lawan" apatah lagi sekiranya kezaliman itu datang dari kumpulan yang besar. Untuk memberikan nasihat ataupun teguran kepada yang mungkar, sentiasa istiqamah untuk berdoa supaya Allah tidak menimpakan ujian yang serupa kepada kita. Kita manusia yang lemah, Allah boleh sahaja membolak-balikkan hidayah yang telah diberikan. ~Sama-sama kita fikirkan~
























1 comment: