Monday 23 April 2012

Faizal, Apa itu Usrah



"Faizal, apa itu usrah, tolong beri penjelasan sedikit?" Tanya seorang sahabat kepada saya.


Alhamdulillah, segala syukur kepada Allah s.w.t kerana menggerakkan hati seorang insan untuk bertanya tentang salah satu taman-taman syurga.

Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram. (al-Ra'd :28)


Usrah seperti sembang-sembang di kedai kopi, di tepi padang bola sepak, mandi di air terjun Sg Sedim, Kedah atau memancing udang galah dan ikan di tepi sungai Muda, Pulau Pinang.


Mudah cerita buatlah apa sahaja asalkan bila kita melihat atau bertemu dengan kawan kita, ia mampu mendatangkan kesedaran tentang kehidupan beragama di dalam diri kita.


Sistem yang berjalan di dalam usrah seperti "mentor menti" atau minggu orientasi pelajar/mahasiswa yang mana kita dipecahkan oleh beberapa kumpulan dan diketuai oleh seorang fasilitator.


Fasilitator atau mentor akan berkongsi pengalaman dan ilmu di dalam ahli kumpulan dan membuka perbincangan sesama ahli kumpulan. Ahli dalam kumpulan faci tersebut boleh berkongsi ilmu, idea dan cerita supaya semua ahli dapat memahami sesuatu perkara yang dibincangkan secara bersama.


'Tak kenal, maka tak cinta', jadi ahli dalam usrah boleh berkenalan dengan lebih mendalam untuk memantapkan ukhwah di atas persaudaraan islam. Perkenalan yang mendalam ini, kesannya menjadikan ahli usrah dapat menjaga kebajikan sesama ahli dan tidak menjadikan mereka yang hanya mementingkan makan, minum, rehat, seks dan kerja dalam diri sendiri.


Usrah merupakan tarbiah(didikan) yang terbaik untuk melatih diri manusia  menjadi seorang muslim sebagai khalifah dan hamba Allah di muka bumi. 


Selain menjadi hamba Allah yang sentiasa beribadat secara khusus kepada Allah seperti solat, puasa dan sebagainya, kita juga mempunyai tanggungjawab wajib yang lain, iaitu menjadi khalifah Allah di muka bumi ini, yakni mengurus dan mengatur alam ini dengan Islam. Sekecil-kecil kahlifah adalah khalifah terhadap diri kita sendiri.


Saya telah merasai nikmat berusrah bersama-sama sahabat saya di UKM, dan saya ingin berkongsi pula kenikmatan ini bersama kawan-kawan saya yang baru ingin mengenali usrah. Kawan, semoga kita dapat menghidupkan roh usrah untuk memakmurkan Islam. JOM kita mula berUSRAH...!


~Dedikasi kepada kawan-kawan saya di Pulau Pinang~





No comments:

Post a Comment