Saturday 21 April 2012

Detik Mengakhiri Zaman Bujang




Masih tidak percaya saya untuk mengakhiri zaman bujang sebelum sempat menghabiskan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia yang banyak mengajar saya tentang makna hidup pada memberi.


"Emak, Faizal mahu mendirikan rumah tangga.?" 


" Abang, Faizal mahu kahwin.?". 


Inilah dialog yang selalu saya gunakan untuk menyampaikan hasrat mendirikan Baitul Muslim kepada keluarga hingga bakal membawa kepada "Di Jalan Dakwah Aku Menikah." Alhamdulillah..


Bukan mudah untuk meyakinkan keluarga bagi mendirikan rumah tangga sewaktu belajar, cuma keyakinan dan keihlasan yang saya pasakkan sekiranya perkara ini baik, InsyaAllah akan dipermudahkan oleh Allah s.w.t.


Kahwin muda(18-24) atau lambat sebenarnya terletak kepada pertimbangan seseorang individu. Saya mengambil pertimbangan untuk berkahwin awal sebagai keutamaan dalam kehidupan kerana saya merancang untuk pelajaran, merancang untuk membantu gerakan islam di Malaysia, merancang untuk berkejaya dan merancang hidup untuk memberi, apatah lagi sebagai seorang manusia yang beragama kita cuba mencari jalan menghindari segala bentuk maksiat.


Sekiranya kita mahu mendirikan rumah tangga, terutamnaya kepada mereka yang mempunyai fikrah tentang harakatul islamiah supaya permudahkanlah urusan yang suci ini.


Bukankah sebaik-baik perempuan adalah rendah mas kahwinnya. Bukankah sekiranya permulaan keberkatan baitul muslim itu dilihat daripada kadar mas kahwinnya. 


Saya tidak berhasrat untuk menidakkan pemberian hantaran kahwin yang beribu ringgit, cuma berilah sekadar kemampuan yang kita ada. Kalau RM 2000.00 sahaja yang kita mampu, berilah sebagai tanda mensyukuri nikmat yang Allah telah kurniakan kepada kita. Kalau RM 10000.00 yang kita mampu berilah asalkan tidak membebankan kita.


Saidina Ali k.w.j memberikan baju besi sebagai mas kahwin kepada Fatimah, manakala ada para sahabat yang hanya membaca surah Al-Fatihah sebagai mas kahwin. Inilah kemampuan para sahabat yang dilihat Rasulullah s.a.w sebagai nabi yang memudahkan pernikahan seseorang. Memudahkan urusan seseorang adalah amalan yang dianjurkan dalam islam.


Harapnya generasi haraki yang bakal menjadi ibu dan ayah dapat memudahkan urusan pernikahan anak-anak mereka dengan tidak membebankan kedua-dua belah pihak, lelaki dan perempuan. Alhamdulillah, walaupun emak saya penyokong UMNO tetapi beliau cuba untuk memudahkan urusan pernikahan saya. Semoga lebih ramai lagi ibu bapa haraki yang dapat menjadikan Islam bukan sahaja di gelanggang siasah, tetapi dari aspek keseluruhan hidup.


Islam telah menyarankan supaya kita memilih seseorang itu kerana agamanya, tetapi bukan menafikan soal kecantikan, harta dan keturunan. Cuma perhiasan agama dalam diri seseorang akan menjamin kebahagiaan berumah tangga.


Kerana orang yang beragama itu sedia berlapang dada, tidak mudah kecewa, dan mengembalikan qada' dan qadar kepada Allah s.w.t. Mereka tahu tidak ada manusia dalam dunia ini yang sempurna, dan mereka sedia bermaaf-maafan antara satu sama lain dalam menjalani ujian hidup berumah tangga.


Saya mula berbaur dengan rasa gelisah dan bimbang, kerana kebanyakan bakal pasangan yang mahu berkahwin mampu menyediakan kereta, rumah dan mempunyai pekerjaan yang tetap untuk bakal pasangan mereka, sedangkan saya tidak mempunyai kemampuan ke arah itu.


Lelaki mana yang tidak sedih dan cemburu, bila melihat bakal isteri orang lain disediakan pelbagai bentuk material selepas akad nikah dilafazkan, mahu melihat bakal isteri tersenyum dan gembira bila melihat kereta di depan mata, rumah di depan mata secara langsung menandakan bukti cinta dan kasih sayang seorang suami kepada isteri. 


Benar dalam islam juga ada menyatakan bahawa kegembiraan manusia terdiri daripada isteri yang solehah, mempunyai jiran yang baik, kenderaan yang elok dan rumah yang bagus, cuma untuk itu rezeki akan datang bila Allah s.w.t membuka pintu-pintu rezeki di kemudian hari.


Persoalan besar juga bagaimana saya ingin berhadapan dengan masyarakat yang tidak memandang serong kepada "couple', tetapi akan mula berkata-kata kepada mereka yang kahwin di waktu belajar.


Ada cakap-cakap yang yang mengatakan yang saya akan hidup susah selepas berumah tangga dan mempunyai masalah sekiranya berkahwin sekarang. Saya hanya mampu mententeramkan jiwa dengan kekuatan keyakinan pada janji Allah s.w.t.


Walaupun mungkin ada kebenarannya, bukan soal kahwin sewaktu belajar ataupun tidak, orang yang sudah ada kereta, rumah, kerja yang hebat, malah sudah pergi berhoneymoon pun masih mempunyai masalah suami isteri yang membawa kepada penceraian dengan purata 96 orang pasangan bercerai-berai setiap hari.


Tidakkah kita mahu berfikir yang mana kebahagiaan itu terletak pada suatu punca, yakni sifat 'qanaah' terhadap apa yang Allah berikan kepada kita bertitik tolak kepada didikan dan amalan agama. 




" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan kamu (wahai kaum lelaki), isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu, (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. " (Ar-Rum :21) 






"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya, lagi Maha Menegtahui. (An-Nur :32)


Tanggungjawab selepas berumah tangga lebih besar yang bakal mengubah persepsi hidup seseorang sewaktu masih bujang. Ia juga bakal menentukan komitmen kepada gerakan dakwah islam di Malaysia. 


Mudah-mudahan saya tidak diberikan ujian terhadap kehidupan yang mementingkan makan, minum dan nafsu sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap  "amar makruf, nahi mungkar" di tengah-tengah masyarakat.


Semoga saya tidak berlebih-lebihan dalam menceritakan soal ini kerana kita manusia tidak tahu ujung pangkal kesudahan hidup yang bakal kita lalui.


Mohd Faizal Bin Ahmad 
~minda paksu~



















2 comments: